TANGISAN ROHINGYA

TANGISAN ROHINGYA

Rabu, 4 Januari 2017

KENAIKAN HARGA MINYAK KETIKA AWAL MUSIM PERSEKOLAHAN, KESAN PENGAMALAN DASAR EKONOMI KONVENSIONAL


KENAIKAN HARGA MINYAK KETIKA AWAL MUSIM PERSEKOLAHAN, KESAN PENGAMALAN DASAR EKONOMI KONVENSIONAL
Oleh:
Afnan Hamimi Dato' Taib Azamudden
Setiausaha Dewan Pemuda PAS Malaysia

1. Sesebuah kerajaan berhak menaikkan atau menurunkan harga minyak sesuai dengan harga pasaran minyak dunia dan iklim ekonomi semasa. Penentuan harga minyak yang tidak bijak akan memberi implikasi terhadap pembangunan negara, khasnya dalam aspek pengeluaran dan bidang keberhasilan negara. Selain itu, ia juga akan memberi kesan terhadap keadaan sosio-ekonomi rakyat, samada mengalami pertumbuhan atau penguncupan, menguntungkan atau membebankan.
2. Pada waktu ini, majoriti rakyat menanggung beban kerana perlu berbelanja besar untuk persiapan awal persekolahan anak-anak. Belanja besar begini menjadi beban wajib yang dipikul setiap awal tahun. Beban semakin bertambah apabila berlaku kenaikan harga minyak dalam masa yang sama.
KEUTAMAAN MANUSIA DAN SUMBER ALAM
3. Jika dilihat daripada sudut tasawur & epistemologi Islam, keutamaan antara menguruskan sumber alam seperti minyak dengan menguruskan manusia (rakyat), manusia lebih menjadi keutamaan berbanding dengan alam kerana kedudukan manusia sebagai pengurus (khalifah) dan kedudukan alam sebagai sumber yang diurus. Kelengkapan & keperluan pengurus perlu diutamakan terlebih dahulu berbanding sumber alam yang hendak diurus. Walaupun sumber alam yang ada tinggi kualitinya dan banyak kuantitinya, ia tetap akan musnah jika diuruskan oleh pengurus (manusia) yang tidak bijak mengurus.
ILMU SEBAGAI KEPERLUAN PENGURUS (MANUSIA)
4. Untuk mempersiapkan manusia sebagai pengurus alam (dalam istilah pembangunan dirujuk sebagai pelaku pembangunan atau development actor), manusia perlu dilengkapkan dengan ilmu pengetahuan, samada melalui pengajian formal mahupun tidak formal. Dalam Islam, ilmu pengetahuan adalah perkara asas yang wajib dipenuhi. Dalam konteks manusia sebagai khalifah, mereka perlu menguasai ilmu fardhu ain sebagai ilmu teras yang perlu ada kepada setiap individu untuk pedoman dan pegangan hidup. Selain itu, ilmu fardhu kifayah juga perlu dikuasai oleh sebahagian rakyat sebagai ilmu yang dapat dimanfaatkan untuk memenuhi tanggungjawab sosial dan membangunkan negara.
5. Justeru itu, menguasai ilmu adalah perkara asas yang wajib ada kepada seorang manusia untuk memenuhi tugas sebagai khalifah. Maka, menuntut ilmu dan melaksanakan persiapan untuknya dikategorikan Islam sebagai perkara penting pada tahap daruriyat. Rakyat yang mempersiapkan anak-anak dengan perbelanjaan membeli kelengkapan untuk mendapatkan ilmu secara formal di sekolah adalah tindakan yang memenuhi tuntutan daruriyat.
6. Jika aspek daruriyat ini diabaikan oleh rakyat, maka dikhuatiri akan wujud implikasi negatif lain yang mengakibatkan tidak tertunainya kewajipan mereka kepada Allah SWT (habluminallah) dan kewajipan mereka kepada manusia lain (habluminannas).
DARURIYAT, HAJIYYAT DAN TAHSNIYYAT SEBAGAI UKURAN KEPERLUAN MANUSIA

7. Selain daruriyat, ada dua lagi tahap yang terdapat dalam konsep ekonomi Islam untuk mengukur tahap keperluan dan kehendak manusia (rakyat) iaitu hajiyyat dan tahsiniyyat. Hajiyyat adalah aspek yang memberikan kemudahan, kelapangan dan keselesaan kepada manusia. Manakala tahsiniyyat pula adalah keperluan manusia yang bersifat 'aksesori', ia berada pada keutamaan ketiga selepas daruriyyat dan hajiyyat.
8. Dalam isu ini, sumber alam seperti minyak dan isu-isu berbangkit mengenainya boleh dikategorikan berada dalam tahap hajiyyat, iaitu perkara yang memberikan kemudahan kepada manusia yang perlu menjadi keutamaan kedua selepas daruriyat. Manakala membuat persiapan membeli kelengkapan untuk persekolahan anak-anak pula dikategorikan dalam tahap daruriyat yang perlu menjadi keutamaan pertama. Sehubungan itu, aspek daruriyat perlu menjadi keutamaan kepada kerajaan untuk membuat sebarang keputusan dan polisi samada dalam aspek ekonomi, politik mahupun sosial.
EKONOMI ISLAM MENGGANTIKAN EKONOMI KONVENSIONAL

9. Kesimpulannya, kenaikan harga minyak disaat rakyat terbeban dengan kos persiapan awal persekolahan anak-anak, menunjukkan negara masih berada dalam kerangka ekonomi konvensional yang menjadikan pengeluaran dan keberhasilan sebagai ukuran utama pembangunan. Manakala manusia (rakyat) pula dianggap sebagai faktor pengeluarannya.
10. Sebaliknya, negara perlu keluar daripada kerangka ekonomi konvensional dan beralih kepada kerangka ekonomi Islam. Antara dua asas daripada asas-asas ekonomi Islam ialah; pertama, meletakkan manusia (rakyat) sebagai khalifah; dan kedua, membuat keputusan dan polisi dengan mengukur tahap keperluan serta keutamaan manusia terlebih dahulu, berdasarkan aspek daruriyat, hajiyyat dan tahsiniyyat.

Nota:
Penulisan artikel ringkas ini adalah berdasarkan ciri ketiga Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS) iaitu "Politik Berasaskan Penyelesaian Islam". Kritikan yang diberikan terhadap isu kenaikan harga minyak turut dikemukakan dengan cadangan awal penyelesaian isu ini berdasarkan tasawur Islam (Islamic worldview).

0 ulasan:

Catat Ulasan