Kempen PAS PILIHANKU

PAS telah melancarkan Kempen PAS PILIHANKU yang bermula pada 1 Januari 2017 sehingga 15 April 2017.

Majlis Perasmian Muktamar Tahunan PAS kali ke 62

Kenangan semasa majlis perasmian Muktamar PAS Pusat pada thun 2016

Pasukan baru PAS Pusat selepas selesai Retreat PAS Pusat di Morib Selangor

Tersenyum ria semua pimpinan selepas selesai retreat PAS Pusat selepas berkampung selama 3 hari

Gimik Pra-Pelancaran kempen PAS PILIHANKU di Pejabat Agung PAS

Gimik pra-pelancaran PAS PILIHANKU diadakan di hadapan Pejabat Agung PAS selepas sidang media diadakan baru-baru ini

Pelancaran Tabung Pilihanraya PAS kawasan Segamat

Gimik pelancaran tabung Pilihanraya PAS Kawasan Segamat

TANGISAN ROHINGYA

TANGISAN ROHINGYA

Rabu, 24 Oktober 2018

MENTERI KEWANGAN TERKHILAF - KELANTAN BUKAN PEMINJAM TERBESAR

Menteri Kewangan Terkhilaf, Kelantan Bukan Peminjam Terbesar – Syahir Sulaiman

Saya merujuk kepada kenyataan Menteri Kewangan bertarikh 23 Oktober 2018 yang menyatakan Kerajaan Negeri Kelantan masih belum membayar balik pinjaman Pendahuluan sebanyak RM388 juta, yang menjadikan Kerajaan Negeri Kelantan penghutang terbesar pinjaman Pendahuluan sehingga 31 Disember 2017.

Namun, fakta dan angka yang terkandung di dalam Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2017 menunjukkan statistik yang berbeza. Untuk makluman, penyata tahunan ini telah diserahkan oleh Akauntan Negara Malaysia kepada YB Menteri Kewangan melalui ‘Surat Penyampaian’ bertarikh 6 Ogos 2018 untuk dibentangkan di Parlimen.

Di dalam Lampiran 3 Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2017, terdapat perincian jumlah Pinjaman dan Pendahuluan yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan seperti berikut:

a) Baki Pinjaman 2017 Mengikut Negeri (Lima Tertinggi), m/2 243.

i. Pahang RM3.06 bilion
ii. Sabah RM2.8 bilion
iii. Kedah RM2.6 bilion
iv. Sarawak RM2.5 bilion
v. Kelantan RM1.4 bilion

b) Baki Pendahuluan 2017 Mengikut Negeri (Lima Tertinggi), m/s 245.

i. Melaka RM414 juta
ii. Kelantan RM364 juta
iii. Perlis RM243 juta
iv. Pahang RM152 juta
v. Kedah RM147 juta

Ternyata Menteri Kewangan telah terkhilaf dalam meneliti fakta dan angka ini, apabila menyatakan Kelantan merupakan penghutang tertinggi pinjaman Pendahuluan bagi tahun 2017, sedangkan yang tercatat adalah negeri Melaka dengan jumlah RM414 juta.

Malah angka Pendahuluan Kerajaan Kelantan berjumlah RM388 juta yang disebut oleh Menteri Kewangan juga berbeza dengan angka RM364 juta yang tercatat di dalam Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2017.

Persoalannya, adakah Menteri Kewangan tersilap merujuk fakta dan angka rasmi Kerajaan atau mengulangi kesilapan beliau yang sering tersilap titik perpuluhan.

Konsep Pinjaman Pendahuluan.

Perlu difahami bahawa pinjaman Pendahuluan ini adalah mekanisma biasa yang diambil oleh kerajaan mahupun syarikat, untuk menampung kekurangan aliran tunai (shortfall) bagi memenuhi komitmen pambayaran semasa, dengan jangkaan akan menerima hasil dalam masa akan datang. Ianya dipanggil ‘advancement’ atau ‘bridging-loan’ dalam pengurusan kewangan.

Malah dalam konteks Kerajaan Kelantan dan kerajaan Negeri yang lain, cabarannya adalah kekurangan aliran tunai (cashflow) untuk membuat pembayaran dalam tempoh 14 ke 30 hari dalam bulan tertentu, dengan jangkaan hasil (revenue) yang akan dipungut hanya akan diterima dalam tempoh lebih 30 hari. 

Inilah hasrat yang terkandung di dalam surat Kerajaan Negeri Kelantan bagi memohon pinjaman pendahuluan kepada Kerajaan Persekutuan. Situasi ini bukan hanya dialami oleh Kelantan, dan tidaklah boleh dikira sebagai lemah dalam menguruskan kewangan.

Kerajaan Persekutuan perlu menghormati dasar federalisme yang memberikan hak kepada Negeri dalam aspek peruntukan dan pinjaman kewangan, tanpa mempolitikkan tanggungjawab ini. 

Malah, semua pihak perlu menilai dengan adil tahap pengurusan, urustadbir, dan integriti yang telah ditunjukkan oleh Kerajaan Kelantan sejak tahun 1990, sehingga mampu bertahan dan melaksanakan 1001 program kebajikan kepada rakyat, dalam keadaan sumber hasil yang terhad, kekangan kewangan dan sekatan royalti oleh Kerajaan Persekutuan.

Jika situasi yang ditanggung Kelantan dihadapi oleh Kerajaan Negeri lain, belum tentu kerajaan tersebut boleh bertahan sehingga hari ini. Inilah fakta dan angka yang perlu difahami.

Syahir Sulaiman, Pengarah Strategi DPPM
24 Oktober 2018

Isnin, 22 Oktober 2018

JAMBATAN BENGKOK : ANTARA IMPIAN MAHATHIR DAN KEPENTINGAN RAKYAT


JAMBATAN BENGKOK : ANTARA IMPIAN MAHATHIR DAN KEPENTINGAN RAKYAT

Muqaddimah

Apabila kita membicarakan tentang Jambatan Bengkok maka kita tidak dapat lari daripada mengaitkannya dengan Tun Dr Mahathir bin Mohamad yang telah mengemukakan perkara ini sejak tahun 1996 lagi.  Jambatan bengkok yang pada asal dalam perancangan mahu dinamakan sebagai Jambatan Indah adalah merupakan struktur jambatan sepanjang 1.4 kilometer bagi menggantikan Tambak Johor sepanjang 1.06 kilometer yang telah digunakan sejak tahun 1923. Ia menjadi ‘bengkok’ kerana Singapura tidak mahu mengubah struktur penghubung di sempadan negaranya.

Persoalannya, adakah ia menjadi keperluan untuk membina Jambatan Bengkok atau Jambatan Indah ini? Sudah tentulah ia menjadi satu keperluan berdasarkan kepada beberapa perkara yang telah dimaklumkan oleh pihak kerajaan sebelum ini. Di antaranya,  ia akan melancarkan aliran lalu lintas ke Singapura dan sebaliknya, Selat Tebrau dapat dilalui oleh kapal perdagangan yang mampu merancakkan industri perkapalan dan pelabuhan negara iaitu Tanjung Pelepas dan Pasir Gudang  dan kelancaran aliran air di Selat Tebrau mampu meningkatkan kualiti air dan juga alam sekitar.

Cetusan Awal Jambatan Bengkok

Dr Mahathir telah mula mencetuskan idea dengan cadangan untuk merobohkan Tambak Johor yang menjadi pintu masuk selatan negara dan diganti dengan sebuah jambatan baharu pada tahun 1996 lagi. Pada 1 Ogos 1996 Dr Mahathir umumkan jambatan baharu bagi menggantikan Tambak Johor bakal dibina secepat mungkin setelah mendapat persetujuan Singapura. Namun tiada perjanjian secara rasmi dimeterai di antara kedua-dua negara berjiran ini.

Hanya pada 31 Julai 1997 barulah satu perbincangan rasmi diadakan di antara Malaysia dan Singapura mengenai pembinaan jambatan baharu bagi menggantikan Tambak Johor sehinggalah pada 4 September 2001 kedua-dua negara bersetuju dengan cadangan tambahan Malaysia berhubung pembinaan jambatan baharu yang dianggarkan siap pada tahun 2007.

Di atas persetujuan ini maka Malaysia yang telah memulakan kerja-kerja pembinaan fasa awal kemudiannya menghentikan sementara pembinaan bagi membolehkan rundingan lanjut dibuat dengan Singapura. Isunya adalah kerana Singapura masih bersikap dingin terhadap usaha kerajaan Malaysia dan proses perundingan dengan Singapura masih belum mencapai keputusan yang membolehkan kerjasama untuk membina jambatan ini dapat diteruskan.

Kedinginan sikap Singapura sebenarnya berpunca daripada mainan politik mereka yang mahukan tuntutan tertentu daripada Malaysia. Pada 6 Februari 2006 Singapura mengumumkan kesediaan untuk bekerjasama dengan Malaysia untuk meneruskan pembinaan jambatan tersebut tetapi meletakkan dua syarat iaitu menjual pasir kepada republik itu dan membuka ruang udara Johor untuk keperluan latihan jet pejuangnya.

Pada awalnya kerajaan Malaysia telah membuat keputusan mengejut apabila menyatakan persetujuan untuk menerima permintaan ini namun pelbagai pihak telah bangkit menyatakan kekesalan dan membantah keputusan tersebut termasuklah bantahan daripada PAS. Di antaranya, Dewan Pemuda PAS Negeri Johor  telah menyerahkan satu memorandum kepada Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi melalui Menteri Besar Johor pada 26 Mac 2006 bagi membantah sekeras-kerasnya terhadap tindakan mahu menyerahkan ruang udara dan menjual pasir laut kepada Singapura semata-mata hanya mahu mereka bersetuju membina jabatan lurus menggantikan Tambak Johor.

Akibat daripada tuntutan tambahan yang diberikan oleh Singapura serta bantahan-bantahan yang diterima daripada pelbagai pihak di Malaysia maka kerajaan Malaysia melalui Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan pada 12 April 2006 bahawa Malaysia menghentikan dan membatalkan pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor.

Kesan Daripada Pembatalan

Akibat daripada pembatalan projek ini, kerajaan Malaysia terpaksa menanggung kerugian besar dengan membayar pampasan kepada Syarikat Gerbang Perdana Sdn Bhd (GPSB) sebanyak RM257.4 juta. GPSB adalah merupakan syarikat yang dilantik untuk membina Jambatan Bengkok. 

Dr Mahatir cukup kecewa dengan keputusan yang telah dibuat oleh Pak Lah dan ia menjadi di antara punca kenapa kepimpinan Pak Lah mendapat kecaman yang berterusan daripada Dr Mahathir. 

Dalam satu wawancara yang disiarkan oleh Malaysiakini pada tahun 2007, Dr Mahathir telah mengecam pentadbiran Pak Lah dengan memberikan gambaran bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak mampu menjadi Perdana Menteri yang lebih baik daripada Pak Lah tetapi Pak Lah dipilih kerana beliau lebih senior daripada Najib.

Dr Mahathir lebih percaya bahawa Najib akan meneruskan dasar-dasar yang dilaksanakannya sewaktu menjadi Perdana Menteri selama dua dekad termasuklah meneruskan pembinaan Jambatan Indah ini.

Namun, apa yang diharapkan oleh Dr Mahathir tidak kesampaian apabila Najib juga tidak dapat merealisasikan impian Dr Mahathir ini. Dalam satu sidang media selepas 'Forum Antarabangsa: Menjenayahkan Perang, Menjana Keamanan' anjuran Yayasan Menjenayahkan Perang Kuala Lumpur (KLFCW) di PWTC pada 18 April 2015, Dr Mahathir melahirkan rasa simpati kepada Najib kerana Najib terlalu lemah dan tidak mampu membina jambatan (Bengkok) dan mahu Najib disingkirkan sebagai Perdana Menteri.

Apabila Mahathir Kembali Berkuasa

Dalam kegawatan ekonomi yang sedang dialami negara ketika ini seperti mana yang telah digembar-gemburkan oleh kerajaan pimpinan PH, pelbagai projek ditangguhkan, kononnya untuk kepentingan rakyat dan negara, di antaranya kerajaan memutuskan untuk membatalkan pelaksanaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP).

Namun, ia bukanlah penyebab untuk Dr Mahathir melupakan impiannya terhadap Jambatan yang telah lama diperjuangkan. Lantas hasratnya yang tertangguh ini disampaikan kepada Menteri Besar Johor yang juga berada dalam parti yang sama iaitu Parti Peribumi Bersatu.

Menteri Besar Johor, Dato' Osman Sapian baru-baru ini telah membuat satu kenyataan di lobi Parlimen bahawa projek membina Jambatan Bengkok akan diteruskan kerana ia adalah kehendak Dr Mahathir, bukannya cadangan daripada beliau sendiri. Walaupun Dr Mahathir cuba menafikan bahawa ia adalah cetusan daripadanya namun penafian Dr Mahathir tidak mampu menutup kehendak sebenar yang telah lama tersimpan di dalam hati.

Penutup

Adakah Jambatan Bengkok akan memberikan impak positif secara langsung kepada rakyat khususnya di Johor ketika ini? Bukankah lebih baik kerajaan Johor memberikan tumpuan kepada pembangunan hospital, sekolah ataupun jalan raya? Justeru adakah ia menjadi satu keperluan ketika ini?

Pembinaan Jambatan Indah biarlah dilaksanakan berdasarkan kepada keperluan dan melihat kepada kedudukan kewangan semasa negara. Bukankah Dr Mahathir sendiri telah menyebut bahawa kerajaan sedang memberi perhatian kepada proses pemulihan negara dengan dua tumpuan utama diberikan kepada pemulihan jentera pentadbiran yang dirosakkan dan kedudukan kewangan negara yang dibelenggu hutang besar?

Masih banyak lagi perkara yang perlu diberikan perhatian serius daripada hanya ingin menunaikan impian seorang Perdana Menteri yang mana tempoh pemerintahannya semakin hampir ke penghujungnya.

Wassalam

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
22 Oktober 2018

Ahad, 10 Jun 2018

PENARIKAN SEMAKAN SEMULA PULAU BATU PUTEH RUGIKAN MASA HADAPAN NEGARA



Pada 2 Februari 2017, Malaysia secara rasminya telah memfailkan permohonan semakan semula keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang diputuskan pada 23 Mei 2008.

Apabila kerajaan Malaysia memfailkan permohonan semakan berhubung keputusan ICJ dalam kes tuntutan bertindih ke atas pulau itu, ia membuka satu pintu kesedaran kepada rakyat bahawa kita sebenarnya masih berpeluang untuk memiliki semula Pulau Batu Puteh. Permohonan semakan oleh Malaysia adalah berdasarkan Perjanjian Khas bertarikh 9 Mei 2003 dan berkuat kuasa pada 9 Mei tahun sama. Semua dilakukan berlandaskan undang-undang antarabangsa dan mengikut ketetapan ICJ di The Hague, Belanda.

Permohonan semakan ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana kedua-dua negara iaitu Malaysia dan Singapura mempunyai hak untuk membuat permohonan semakan kepada ICJ sekiranya wujud dokumen baharu yang tidak digunakan semasa perbicaraan asal, maka disebabkan itu tindakan Malaysia adalah mengikut peruntukan perundang­an ICJ dan ianya mestilah dipohon bagi semakan semula pada Mei 2018.

Mantan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali telah menjelaskan  bahawa tiga fakta baharu yang diperoleh bagi menyokong permohonan Malaysia menyemak keputusan ICJ telah ditemui selepas Pejabat Peguam Negara meneliti lebih 3,000 dokumen milik National Archives of the United Kingdom atau Arkib Negara United Kingdom di sana.

Pada peringkat awal, semua dokumen-dokumen tersebut telah diklasifikasikan sebagai sulit namun ia telah didedahkan kepada umum pada September 2013 iaitu selepas lima tahun keputusan dibuat. Malaysia pula hanya memperolehi dokumen tersebut di antara 4 Ogos 2016 dan 30 Januari 2017 ketika menyemak kembali fail arkib pentadbiran tanah jajahan selepas didedahkan kepada umum.

Bukti bersejarah ini adalah sesuatu fakta yang sangat bermakna kepada kita untuk kembali menuntut hak kedaulatan melalui semakan semula terhadap Pulau Batu Puteh.

Pada 5 Februari 2017, Setiausaha Agung Pertubuhan Perundingan Undang-undang Asia-Afrika (AALCO), Prof. Datuk Dr. Rahmat Mohamad telah menyatakan bahawa bukti sejarah yang tidak boleh dicabar bahawa Pulau Batu Puteh sememangnya berada dalam wilayah Malaysia dalam setiap keadaan akan memberi peluang cerah kepada Malaysia dalam proses semakan semula keputusan ICJ. Beliau memberi contoh dengan merujuk kepada kes kuil purba Preah Vihear yang mana ICJ memutuskan kuil itu terletak dalam kedaulatan Kemboja kerana wujud bukti sejarah yang tidak boleh disangkal Thailand.

Ia dituruti dengan kenyataan Timbalan Pengarah Ins­­titut Pengajian Malaysia dan Antarabangsa (Ikmas), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sufian Jusoh pada 6 Februari 2017 mendakwa bahawa Singapura juga mengetahui mengenai rekod komunikasi antara pe­­­mimpin terting­gi Bri­tish pada lewat 1950-an yang menyatakan Pulau Batu Puteh bukan milik Singapura tetapi mereka menyem­bunyikannya selama ini. Sebagai seorang yang pakar undang-undang antarabangsa, beliau percaya Malaysia mempunyai pe­luang cerah dalam proses se­makan semula keputusan ICJ tersebut.

Mengikut laporan yang disiarkan oleh ICJ, dokumen yang dikatakan sebagai fakta baharu adalah termasuk surat-menyurat dalaman pihak berkuasa tanah jajahan Singapura pada tahun 1958, laporan mengenai satu kejadian difailkan seorang pegawai tentera laut Britain pada 1958 dan satu peta berserta catatan mengenai operasi tentera laut dari tahun 1960-an. Melihat kepada dokumen-dokumen ini sudah tentu ia membuka ruang untuk Malaysia kembali memiliki Pulau Batu Puteh.

Keterangan ringkas tiga dokumen yang dinyatakan dalam permohonan kerajaan Malaysia kepada ICJ adalah seperti berikut ;

i. Dokumen Pertama adalah merupakan telegram sulit pada 1958 daripada Gabenor Singapura kepada Setiausaha Negeri-negeri Jajahan yang mencadangkan pembentukan koridor perairan antarabangsa kira-kira 1.6 kilometer dari pulau tersebut sekali gus menunjukkan beliau tidak menganggap Pulau Batu Puteh sebagai sebahagian daripada wilayah Singapura.

ii. Dokumen Kedua adalah merupakan laporan insiden kapal pada 1958 yang menyebut tentang ketidakmampuan tentera laut Britain untuk membantu kapal Malaysia yang diekori oleh bot bersenjata Indonesia dekat pulau tersebut kerana ‘kawasan itu berada dalam wilayah perairan Johor’. Kandungan dokumen ini secara jelas menunjukkan bahawa Britain mengiktiraf perairan di sekitar pulau berkenaan adalah milik Johor dan Britain tidak melihat bahawa perairan di sekitar pulau itu milik Singapura.

iii. Dokumen Ketiga pula adalah merupakan peta pada 1962 yang mempunyai nota tulisan tangan pada 1969 yang menunjukkan wilayah perairan Singapura tidak melebihi sekitar Pulau Batu Puteh.

Ia adalah jauh lebih penting daripada keputusan ICJ sebelum ini bahawa Pulau Batu Puteh adalah milik Singapura yang hanya bersandarkan kepada bukti bahawa republik itu telah mentadbir pulau tersebut buat sekian waktu melalui pengendalian Rumah Api Horsburgh.

Kedudukan dan jarak Pulau Batu Puteh yang hanya berada 12.8 km dari pantai Pengerang, Johor dan 64 km dari perairan terdekat Singapura secara logiknya sepatutnya adalah milik Malaysia tetapi ia tidak mampu untuk meyakinkan ICJ kerana faktor kelemahan pasukan daripada Malaysia pada ketika itu untuk mengemukakan bukti bertulis bahawa pulau tersebut adalah milik Malaysia sejak dari era Kesultanan Johor lagi.

Sejarah telah membuktikan bahawa Pulau Batu Puteh adalah sebahagian daripada jajahan takluk Kesultanan Di Raja Johor, bersandarkan kepada Perjanjian Inggeris-Belanda pada 17 Mac 1824 dan Perjanjian Crawfurd pada 2 Ogos 1824, yang mana ia telah menggariskan persempadanan kedaulatan Kesultanan Diraja Johor dan ianya masih sah hingga ke hari ini.

Pasti ramai yang masih ingat lagi pesanan almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail sebelum mangkat, baginda berpesan bahawa Pulau Batu Puteh adalah milik Johor dan pulau itu mesti kekal menjadi sebahagian daripada Johor. Titah almarhum dibuat setelah memutuskan bahawa Pulau Batu Puteh yang menjadi pertikaian antara Malaysia dan Singapura sejak 1979 adalah milik Singapura oleh ICJ.

Bertepatan dengan pesanan itu, pada 29 Mei 2014, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar  telah bertitah  dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya kerajaan negeri menubuhkan sebuah pasukan khas mengkaji untuk membuat rayuan terhadap keputusan ICJ itu.

Di atas kesungguhan kerajaan Malaysia untuk membuat semakan semula terhadap hak milik Pulau Batu Puteh telah mendapat pujian daripada Sultan Ibrahim yang menzahirkan ucapan syabas kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan pasukannya yang berjaya menjumpai bukti baharu berkenaan tuntutan Pulau Batu Puteh.

Sultan Ibrahim juga bertitah bahawa walaupun saiz Pulau Batu Puteh kecil, namun setiap inci tanah negeri Johor mesti dipertahankan kerana itu adalah lambang kedaulatan Johor dan menjadi sebahagian kedaulatan Malaysia.

SINGAPURA MULAKAN PERANG SARAF

Pertembungan di antara Malaysia dengan Singapura bukanlah perkara baharu dan ianya berterusan khususnya yang melibatkan kepentingan kedua-dua negara. Sebagai contoh yang diketahui umum adalah berkaitan dengan isu Tambak Johor yang tidak boleh diusik kerana paip yang membekalkan air ke Singapura berada di atas tambak yang menghubungkan Malaysia dengan Singapura. Sebelum ini Malaysia pernah mencuba untuk mengubah struktur Tambak Johor namun ia akan memberi kesan kepada paip air dan ia akan dianggap melanggar peruntukan Perjanjian Air 1961 dan 1962. Itu sebagai satu contoh yang  mewakili pelbagai isu yang telah dan sedang berlaku.

Maka apabila berhadap dengan isu permohonan tuntutan semakan semula keputusan ICJ 2008 yang difailkan oleh kerajaan Malaysia maka ia sengaja dikaitkan menjelangnya Pilihan Raya Umum Malaysia yang ke 14 (PRU14) walhal isu tuntutan terhadap Pulau Batu Puteh bukanlah satu perkara yang baharu di Malaysia.

Namun perang saraf yang telah dilancarkan oleh  Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong telah berjaya menarik perhatian sebahagian daripada pemimpin PH sehingga mereka telah menyahut perang saraf ini dengan hujah yang hampir serupa dengan PM Singapura.

Akhirnya, pada 30 Mei 2018 Malaysia telah menarik diri daripada semakan keputusan dan tidak meneruskan prosiding yang dimulakan sebelum ini. Kenyataan ini dikeluarkan sejurus selepas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memberitahu kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menarik diri daripada semakan keputusan ICJ mengenai kedaulatan Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh yang dicabar semula oleh pentadbiran kerajaan terdahulu.

APAKAH FAKTOR YANG MENYEBABKAN SEMAKAN KEPUTUSAN DITARIK BALIK?

Sehingga kini, ia menjadi satu persoalan yang masih belum terjawab. Pelbagai andaian telah disebarkan namun masih belum bertemu dengan sebab yang sebenarnya. Dr Mahathir selaku Perdana Menteri sudah pasti lebih mengetahui alasan-alasannya namun masih juga tidak mendedahkan butiran-butiran tersebut.

Kerajaan Negeri Johor juga tidak membuat apa-apa bantahan atau tidak berfungsi terhadap isu ini selain meletakkan kesalahan kepada pimpinan kerajaan yang lama. Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Osman Sapian memberikan alasan bahawa beliau masih baru ketika itu dan tidak begitu mengetahui tentang isu pulau ini sedangkan mengikut rekod beliau telahpun dipilih sebagai ADUN Kempas yang mewakili UMNO/BN sejak tahun 1999 lagi.

Antara lain beliau menyebut ;

“…saya kurang arif tentang sejarah dan perjalanan Batu Puteh semasa dibawa ke ICJ dulu sebabnya saya masih baru. Saya mengikuti, tetapi tidak secara mendalam”

Beliau juga menyalahkan kerajaan dahulu iaitu BN di atas kecuaian yang telah berlaku sedangkan pada ketika Pulau Batu Puteh jatuh ke tangan Singapura, beliau juga adalah pimpinan BN dan ini sudah pasti menimbulkan persoalan.

Namun apa yang pasti dan tidak dapat kita nafikan adalah pihak yang paling bergembira dengan keputusan ini adalah Singapura. Penganalisis-penganalisis dari Singapura mengandaikan bahawa isu domestik menjadi punca mengapa Malaysia menarik diri. Apa yang dimaksudkan dengan isu domestik adalah kerajaan baharu pimpinan PH lebih memberi tumpuan dalam menyelesaikan isu politik dan ekonomi domestik dan tidak mahu mewujudkan ketegangan diplomatik dengan negara jiran khususnya Singapura yang mempunyai sejarah yang panjang dengan Malaysia.

Ada juga yang mengandaikan bahawa langkah untuk membatalkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, Malaysia mungkin juga mahu mewujudkan "iklim diplomatik yang lebih positif" dengan Singapura.

Justeru rakyat Malaysia khususnya rakyat Johor perlu tahu apakah faktor-faktor yang mempengaruhi semakan semula keputusan di tarik balik. Ini bukan isu politik tetapi isu kedaulatan negara yang perlu ditangani dengan sewajarnya.

“Malaysia Sejahtera”
“Sejahtera Bersama Islam”

Sekian, wassalam.

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Johor
Penolong Setiausaha Agung PAS Pusat
25 Ramadhan bersamaan 10 Jun 2018