Kempen PAS PILIHANKU

PAS telah melancarkan Kempen PAS PILIHANKU yang bermula pada 1 Januari 2017 sehingga 15 April 2017.

Majlis Perasmian Muktamar Tahunan PAS kali ke 62

Kenangan semasa majlis perasmian Muktamar PAS Pusat pada thun 2016

Pasukan baru PAS Pusat selepas selesai Retreat PAS Pusat di Morib Selangor

Tersenyum ria semua pimpinan selepas selesai retreat PAS Pusat selepas berkampung selama 3 hari

Gimik Pra-Pelancaran kempen PAS PILIHANKU di Pejabat Agung PAS

Gimik pra-pelancaran PAS PILIHANKU diadakan di hadapan Pejabat Agung PAS selepas sidang media diadakan baru-baru ini

Pelancaran Tabung Pilihanraya PAS kawasan Segamat

Gimik pelancaran tabung Pilihanraya PAS Kawasan Segamat

TANGISAN ROHINGYA

TANGISAN ROHINGYA

Rabu, 24 Oktober 2018

MENTERI KEWANGAN TERKHILAF - KELANTAN BUKAN PEMINJAM TERBESAR

Menteri Kewangan Terkhilaf, Kelantan Bukan Peminjam Terbesar – Syahir Sulaiman

Saya merujuk kepada kenyataan Menteri Kewangan bertarikh 23 Oktober 2018 yang menyatakan Kerajaan Negeri Kelantan masih belum membayar balik pinjaman Pendahuluan sebanyak RM388 juta, yang menjadikan Kerajaan Negeri Kelantan penghutang terbesar pinjaman Pendahuluan sehingga 31 Disember 2017.

Namun, fakta dan angka yang terkandung di dalam Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2017 menunjukkan statistik yang berbeza. Untuk makluman, penyata tahunan ini telah diserahkan oleh Akauntan Negara Malaysia kepada YB Menteri Kewangan melalui ‘Surat Penyampaian’ bertarikh 6 Ogos 2018 untuk dibentangkan di Parlimen.

Di dalam Lampiran 3 Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2017, terdapat perincian jumlah Pinjaman dan Pendahuluan yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan seperti berikut:

a) Baki Pinjaman 2017 Mengikut Negeri (Lima Tertinggi), m/2 243.

i. Pahang RM3.06 bilion
ii. Sabah RM2.8 bilion
iii. Kedah RM2.6 bilion
iv. Sarawak RM2.5 bilion
v. Kelantan RM1.4 bilion

b) Baki Pendahuluan 2017 Mengikut Negeri (Lima Tertinggi), m/s 245.

i. Melaka RM414 juta
ii. Kelantan RM364 juta
iii. Perlis RM243 juta
iv. Pahang RM152 juta
v. Kedah RM147 juta

Ternyata Menteri Kewangan telah terkhilaf dalam meneliti fakta dan angka ini, apabila menyatakan Kelantan merupakan penghutang tertinggi pinjaman Pendahuluan bagi tahun 2017, sedangkan yang tercatat adalah negeri Melaka dengan jumlah RM414 juta.

Malah angka Pendahuluan Kerajaan Kelantan berjumlah RM388 juta yang disebut oleh Menteri Kewangan juga berbeza dengan angka RM364 juta yang tercatat di dalam Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2017.

Persoalannya, adakah Menteri Kewangan tersilap merujuk fakta dan angka rasmi Kerajaan atau mengulangi kesilapan beliau yang sering tersilap titik perpuluhan.

Konsep Pinjaman Pendahuluan.

Perlu difahami bahawa pinjaman Pendahuluan ini adalah mekanisma biasa yang diambil oleh kerajaan mahupun syarikat, untuk menampung kekurangan aliran tunai (shortfall) bagi memenuhi komitmen pambayaran semasa, dengan jangkaan akan menerima hasil dalam masa akan datang. Ianya dipanggil ‘advancement’ atau ‘bridging-loan’ dalam pengurusan kewangan.

Malah dalam konteks Kerajaan Kelantan dan kerajaan Negeri yang lain, cabarannya adalah kekurangan aliran tunai (cashflow) untuk membuat pembayaran dalam tempoh 14 ke 30 hari dalam bulan tertentu, dengan jangkaan hasil (revenue) yang akan dipungut hanya akan diterima dalam tempoh lebih 30 hari. 

Inilah hasrat yang terkandung di dalam surat Kerajaan Negeri Kelantan bagi memohon pinjaman pendahuluan kepada Kerajaan Persekutuan. Situasi ini bukan hanya dialami oleh Kelantan, dan tidaklah boleh dikira sebagai lemah dalam menguruskan kewangan.

Kerajaan Persekutuan perlu menghormati dasar federalisme yang memberikan hak kepada Negeri dalam aspek peruntukan dan pinjaman kewangan, tanpa mempolitikkan tanggungjawab ini. 

Malah, semua pihak perlu menilai dengan adil tahap pengurusan, urustadbir, dan integriti yang telah ditunjukkan oleh Kerajaan Kelantan sejak tahun 1990, sehingga mampu bertahan dan melaksanakan 1001 program kebajikan kepada rakyat, dalam keadaan sumber hasil yang terhad, kekangan kewangan dan sekatan royalti oleh Kerajaan Persekutuan.

Jika situasi yang ditanggung Kelantan dihadapi oleh Kerajaan Negeri lain, belum tentu kerajaan tersebut boleh bertahan sehingga hari ini. Inilah fakta dan angka yang perlu difahami.

Syahir Sulaiman, Pengarah Strategi DPPM
24 Oktober 2018

Isnin, 22 Oktober 2018

JAMBATAN BENGKOK : ANTARA IMPIAN MAHATHIR DAN KEPENTINGAN RAKYAT


JAMBATAN BENGKOK : ANTARA IMPIAN MAHATHIR DAN KEPENTINGAN RAKYAT

Muqaddimah

Apabila kita membicarakan tentang Jambatan Bengkok maka kita tidak dapat lari daripada mengaitkannya dengan Tun Dr Mahathir bin Mohamad yang telah mengemukakan perkara ini sejak tahun 1996 lagi.  Jambatan bengkok yang pada asal dalam perancangan mahu dinamakan sebagai Jambatan Indah adalah merupakan struktur jambatan sepanjang 1.4 kilometer bagi menggantikan Tambak Johor sepanjang 1.06 kilometer yang telah digunakan sejak tahun 1923. Ia menjadi ‘bengkok’ kerana Singapura tidak mahu mengubah struktur penghubung di sempadan negaranya.

Persoalannya, adakah ia menjadi keperluan untuk membina Jambatan Bengkok atau Jambatan Indah ini? Sudah tentulah ia menjadi satu keperluan berdasarkan kepada beberapa perkara yang telah dimaklumkan oleh pihak kerajaan sebelum ini. Di antaranya,  ia akan melancarkan aliran lalu lintas ke Singapura dan sebaliknya, Selat Tebrau dapat dilalui oleh kapal perdagangan yang mampu merancakkan industri perkapalan dan pelabuhan negara iaitu Tanjung Pelepas dan Pasir Gudang  dan kelancaran aliran air di Selat Tebrau mampu meningkatkan kualiti air dan juga alam sekitar.

Cetusan Awal Jambatan Bengkok

Dr Mahathir telah mula mencetuskan idea dengan cadangan untuk merobohkan Tambak Johor yang menjadi pintu masuk selatan negara dan diganti dengan sebuah jambatan baharu pada tahun 1996 lagi. Pada 1 Ogos 1996 Dr Mahathir umumkan jambatan baharu bagi menggantikan Tambak Johor bakal dibina secepat mungkin setelah mendapat persetujuan Singapura. Namun tiada perjanjian secara rasmi dimeterai di antara kedua-dua negara berjiran ini.

Hanya pada 31 Julai 1997 barulah satu perbincangan rasmi diadakan di antara Malaysia dan Singapura mengenai pembinaan jambatan baharu bagi menggantikan Tambak Johor sehinggalah pada 4 September 2001 kedua-dua negara bersetuju dengan cadangan tambahan Malaysia berhubung pembinaan jambatan baharu yang dianggarkan siap pada tahun 2007.

Di atas persetujuan ini maka Malaysia yang telah memulakan kerja-kerja pembinaan fasa awal kemudiannya menghentikan sementara pembinaan bagi membolehkan rundingan lanjut dibuat dengan Singapura. Isunya adalah kerana Singapura masih bersikap dingin terhadap usaha kerajaan Malaysia dan proses perundingan dengan Singapura masih belum mencapai keputusan yang membolehkan kerjasama untuk membina jambatan ini dapat diteruskan.

Kedinginan sikap Singapura sebenarnya berpunca daripada mainan politik mereka yang mahukan tuntutan tertentu daripada Malaysia. Pada 6 Februari 2006 Singapura mengumumkan kesediaan untuk bekerjasama dengan Malaysia untuk meneruskan pembinaan jambatan tersebut tetapi meletakkan dua syarat iaitu menjual pasir kepada republik itu dan membuka ruang udara Johor untuk keperluan latihan jet pejuangnya.

Pada awalnya kerajaan Malaysia telah membuat keputusan mengejut apabila menyatakan persetujuan untuk menerima permintaan ini namun pelbagai pihak telah bangkit menyatakan kekesalan dan membantah keputusan tersebut termasuklah bantahan daripada PAS. Di antaranya, Dewan Pemuda PAS Negeri Johor  telah menyerahkan satu memorandum kepada Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi melalui Menteri Besar Johor pada 26 Mac 2006 bagi membantah sekeras-kerasnya terhadap tindakan mahu menyerahkan ruang udara dan menjual pasir laut kepada Singapura semata-mata hanya mahu mereka bersetuju membina jabatan lurus menggantikan Tambak Johor.

Akibat daripada tuntutan tambahan yang diberikan oleh Singapura serta bantahan-bantahan yang diterima daripada pelbagai pihak di Malaysia maka kerajaan Malaysia melalui Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan pada 12 April 2006 bahawa Malaysia menghentikan dan membatalkan pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor.

Kesan Daripada Pembatalan

Akibat daripada pembatalan projek ini, kerajaan Malaysia terpaksa menanggung kerugian besar dengan membayar pampasan kepada Syarikat Gerbang Perdana Sdn Bhd (GPSB) sebanyak RM257.4 juta. GPSB adalah merupakan syarikat yang dilantik untuk membina Jambatan Bengkok. 

Dr Mahatir cukup kecewa dengan keputusan yang telah dibuat oleh Pak Lah dan ia menjadi di antara punca kenapa kepimpinan Pak Lah mendapat kecaman yang berterusan daripada Dr Mahathir. 

Dalam satu wawancara yang disiarkan oleh Malaysiakini pada tahun 2007, Dr Mahathir telah mengecam pentadbiran Pak Lah dengan memberikan gambaran bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak mampu menjadi Perdana Menteri yang lebih baik daripada Pak Lah tetapi Pak Lah dipilih kerana beliau lebih senior daripada Najib.

Dr Mahathir lebih percaya bahawa Najib akan meneruskan dasar-dasar yang dilaksanakannya sewaktu menjadi Perdana Menteri selama dua dekad termasuklah meneruskan pembinaan Jambatan Indah ini.

Namun, apa yang diharapkan oleh Dr Mahathir tidak kesampaian apabila Najib juga tidak dapat merealisasikan impian Dr Mahathir ini. Dalam satu sidang media selepas 'Forum Antarabangsa: Menjenayahkan Perang, Menjana Keamanan' anjuran Yayasan Menjenayahkan Perang Kuala Lumpur (KLFCW) di PWTC pada 18 April 2015, Dr Mahathir melahirkan rasa simpati kepada Najib kerana Najib terlalu lemah dan tidak mampu membina jambatan (Bengkok) dan mahu Najib disingkirkan sebagai Perdana Menteri.

Apabila Mahathir Kembali Berkuasa

Dalam kegawatan ekonomi yang sedang dialami negara ketika ini seperti mana yang telah digembar-gemburkan oleh kerajaan pimpinan PH, pelbagai projek ditangguhkan, kononnya untuk kepentingan rakyat dan negara, di antaranya kerajaan memutuskan untuk membatalkan pelaksanaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP).

Namun, ia bukanlah penyebab untuk Dr Mahathir melupakan impiannya terhadap Jambatan yang telah lama diperjuangkan. Lantas hasratnya yang tertangguh ini disampaikan kepada Menteri Besar Johor yang juga berada dalam parti yang sama iaitu Parti Peribumi Bersatu.

Menteri Besar Johor, Dato' Osman Sapian baru-baru ini telah membuat satu kenyataan di lobi Parlimen bahawa projek membina Jambatan Bengkok akan diteruskan kerana ia adalah kehendak Dr Mahathir, bukannya cadangan daripada beliau sendiri. Walaupun Dr Mahathir cuba menafikan bahawa ia adalah cetusan daripadanya namun penafian Dr Mahathir tidak mampu menutup kehendak sebenar yang telah lama tersimpan di dalam hati.

Penutup

Adakah Jambatan Bengkok akan memberikan impak positif secara langsung kepada rakyat khususnya di Johor ketika ini? Bukankah lebih baik kerajaan Johor memberikan tumpuan kepada pembangunan hospital, sekolah ataupun jalan raya? Justeru adakah ia menjadi satu keperluan ketika ini?

Pembinaan Jambatan Indah biarlah dilaksanakan berdasarkan kepada keperluan dan melihat kepada kedudukan kewangan semasa negara. Bukankah Dr Mahathir sendiri telah menyebut bahawa kerajaan sedang memberi perhatian kepada proses pemulihan negara dengan dua tumpuan utama diberikan kepada pemulihan jentera pentadbiran yang dirosakkan dan kedudukan kewangan negara yang dibelenggu hutang besar?

Masih banyak lagi perkara yang perlu diberikan perhatian serius daripada hanya ingin menunaikan impian seorang Perdana Menteri yang mana tempoh pemerintahannya semakin hampir ke penghujungnya.

Wassalam

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
22 Oktober 2018