TANGISAN ROHINGYA

TANGISAN ROHINGYA

Isnin, 22 Oktober 2018

JAMBATAN BENGKOK : ANTARA IMPIAN MAHATHIR DAN KEPENTINGAN RAKYAT


JAMBATAN BENGKOK : ANTARA IMPIAN MAHATHIR DAN KEPENTINGAN RAKYAT

Muqaddimah

Apabila kita membicarakan tentang Jambatan Bengkok maka kita tidak dapat lari daripada mengaitkannya dengan Tun Dr Mahathir bin Mohamad yang telah mengemukakan perkara ini sejak tahun 1996 lagi.  Jambatan bengkok yang pada asal dalam perancangan mahu dinamakan sebagai Jambatan Indah adalah merupakan struktur jambatan sepanjang 1.4 kilometer bagi menggantikan Tambak Johor sepanjang 1.06 kilometer yang telah digunakan sejak tahun 1923. Ia menjadi ‘bengkok’ kerana Singapura tidak mahu mengubah struktur penghubung di sempadan negaranya.

Persoalannya, adakah ia menjadi keperluan untuk membina Jambatan Bengkok atau Jambatan Indah ini? Sudah tentulah ia menjadi satu keperluan berdasarkan kepada beberapa perkara yang telah dimaklumkan oleh pihak kerajaan sebelum ini. Di antaranya,  ia akan melancarkan aliran lalu lintas ke Singapura dan sebaliknya, Selat Tebrau dapat dilalui oleh kapal perdagangan yang mampu merancakkan industri perkapalan dan pelabuhan negara iaitu Tanjung Pelepas dan Pasir Gudang  dan kelancaran aliran air di Selat Tebrau mampu meningkatkan kualiti air dan juga alam sekitar.

Cetusan Awal Jambatan Bengkok

Dr Mahathir telah mula mencetuskan idea dengan cadangan untuk merobohkan Tambak Johor yang menjadi pintu masuk selatan negara dan diganti dengan sebuah jambatan baharu pada tahun 1996 lagi. Pada 1 Ogos 1996 Dr Mahathir umumkan jambatan baharu bagi menggantikan Tambak Johor bakal dibina secepat mungkin setelah mendapat persetujuan Singapura. Namun tiada perjanjian secara rasmi dimeterai di antara kedua-dua negara berjiran ini.

Hanya pada 31 Julai 1997 barulah satu perbincangan rasmi diadakan di antara Malaysia dan Singapura mengenai pembinaan jambatan baharu bagi menggantikan Tambak Johor sehinggalah pada 4 September 2001 kedua-dua negara bersetuju dengan cadangan tambahan Malaysia berhubung pembinaan jambatan baharu yang dianggarkan siap pada tahun 2007.

Di atas persetujuan ini maka Malaysia yang telah memulakan kerja-kerja pembinaan fasa awal kemudiannya menghentikan sementara pembinaan bagi membolehkan rundingan lanjut dibuat dengan Singapura. Isunya adalah kerana Singapura masih bersikap dingin terhadap usaha kerajaan Malaysia dan proses perundingan dengan Singapura masih belum mencapai keputusan yang membolehkan kerjasama untuk membina jambatan ini dapat diteruskan.

Kedinginan sikap Singapura sebenarnya berpunca daripada mainan politik mereka yang mahukan tuntutan tertentu daripada Malaysia. Pada 6 Februari 2006 Singapura mengumumkan kesediaan untuk bekerjasama dengan Malaysia untuk meneruskan pembinaan jambatan tersebut tetapi meletakkan dua syarat iaitu menjual pasir kepada republik itu dan membuka ruang udara Johor untuk keperluan latihan jet pejuangnya.

Pada awalnya kerajaan Malaysia telah membuat keputusan mengejut apabila menyatakan persetujuan untuk menerima permintaan ini namun pelbagai pihak telah bangkit menyatakan kekesalan dan membantah keputusan tersebut termasuklah bantahan daripada PAS. Di antaranya, Dewan Pemuda PAS Negeri Johor  telah menyerahkan satu memorandum kepada Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi melalui Menteri Besar Johor pada 26 Mac 2006 bagi membantah sekeras-kerasnya terhadap tindakan mahu menyerahkan ruang udara dan menjual pasir laut kepada Singapura semata-mata hanya mahu mereka bersetuju membina jabatan lurus menggantikan Tambak Johor.

Akibat daripada tuntutan tambahan yang diberikan oleh Singapura serta bantahan-bantahan yang diterima daripada pelbagai pihak di Malaysia maka kerajaan Malaysia melalui Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan pada 12 April 2006 bahawa Malaysia menghentikan dan membatalkan pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor.

Kesan Daripada Pembatalan

Akibat daripada pembatalan projek ini, kerajaan Malaysia terpaksa menanggung kerugian besar dengan membayar pampasan kepada Syarikat Gerbang Perdana Sdn Bhd (GPSB) sebanyak RM257.4 juta. GPSB adalah merupakan syarikat yang dilantik untuk membina Jambatan Bengkok. 

Dr Mahatir cukup kecewa dengan keputusan yang telah dibuat oleh Pak Lah dan ia menjadi di antara punca kenapa kepimpinan Pak Lah mendapat kecaman yang berterusan daripada Dr Mahathir. 

Dalam satu wawancara yang disiarkan oleh Malaysiakini pada tahun 2007, Dr Mahathir telah mengecam pentadbiran Pak Lah dengan memberikan gambaran bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak mampu menjadi Perdana Menteri yang lebih baik daripada Pak Lah tetapi Pak Lah dipilih kerana beliau lebih senior daripada Najib.

Dr Mahathir lebih percaya bahawa Najib akan meneruskan dasar-dasar yang dilaksanakannya sewaktu menjadi Perdana Menteri selama dua dekad termasuklah meneruskan pembinaan Jambatan Indah ini.

Namun, apa yang diharapkan oleh Dr Mahathir tidak kesampaian apabila Najib juga tidak dapat merealisasikan impian Dr Mahathir ini. Dalam satu sidang media selepas 'Forum Antarabangsa: Menjenayahkan Perang, Menjana Keamanan' anjuran Yayasan Menjenayahkan Perang Kuala Lumpur (KLFCW) di PWTC pada 18 April 2015, Dr Mahathir melahirkan rasa simpati kepada Najib kerana Najib terlalu lemah dan tidak mampu membina jambatan (Bengkok) dan mahu Najib disingkirkan sebagai Perdana Menteri.

Apabila Mahathir Kembali Berkuasa

Dalam kegawatan ekonomi yang sedang dialami negara ketika ini seperti mana yang telah digembar-gemburkan oleh kerajaan pimpinan PH, pelbagai projek ditangguhkan, kononnya untuk kepentingan rakyat dan negara, di antaranya kerajaan memutuskan untuk membatalkan pelaksanaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP).

Namun, ia bukanlah penyebab untuk Dr Mahathir melupakan impiannya terhadap Jambatan yang telah lama diperjuangkan. Lantas hasratnya yang tertangguh ini disampaikan kepada Menteri Besar Johor yang juga berada dalam parti yang sama iaitu Parti Peribumi Bersatu.

Menteri Besar Johor, Dato' Osman Sapian baru-baru ini telah membuat satu kenyataan di lobi Parlimen bahawa projek membina Jambatan Bengkok akan diteruskan kerana ia adalah kehendak Dr Mahathir, bukannya cadangan daripada beliau sendiri. Walaupun Dr Mahathir cuba menafikan bahawa ia adalah cetusan daripadanya namun penafian Dr Mahathir tidak mampu menutup kehendak sebenar yang telah lama tersimpan di dalam hati.

Penutup

Adakah Jambatan Bengkok akan memberikan impak positif secara langsung kepada rakyat khususnya di Johor ketika ini? Bukankah lebih baik kerajaan Johor memberikan tumpuan kepada pembangunan hospital, sekolah ataupun jalan raya? Justeru adakah ia menjadi satu keperluan ketika ini?

Pembinaan Jambatan Indah biarlah dilaksanakan berdasarkan kepada keperluan dan melihat kepada kedudukan kewangan semasa negara. Bukankah Dr Mahathir sendiri telah menyebut bahawa kerajaan sedang memberi perhatian kepada proses pemulihan negara dengan dua tumpuan utama diberikan kepada pemulihan jentera pentadbiran yang dirosakkan dan kedudukan kewangan negara yang dibelenggu hutang besar?

Masih banyak lagi perkara yang perlu diberikan perhatian serius daripada hanya ingin menunaikan impian seorang Perdana Menteri yang mana tempoh pemerintahannya semakin hampir ke penghujungnya.

Wassalam

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
22 Oktober 2018

0 ulasan:

Catat Ulasan