TANGISAN ROHINGYA

TANGISAN ROHINGYA

Jumaat, 11 Oktober 2019

BAB 1 : MESYUARAT BERKUALITI DAN BERKESAN - PENDAHULUAN


PENDAHULUAN

Apabila kita menyebut perkataan MESYUARAT maka ia bukanlah satu perkara yang janggal mahu pun luar biasa di dalam masyarakat Malaysia malah di seluruh dunia. Murid di peringkat sekolah rendah pun sudah pandai bermesyuarat dengan kelompok atau kumpulan masing-masing sehinggakan mereka mempunyai “WhatsApp Group” untuk berbincang sesama mereka.

Apatah lagi dengan golongan dewasa yang terlibat dengan dunia berpersatuan sama ada seseorang itu terlibat di dalam organisasi berdaftar atau pun tidak berdaftar, parti politik atau NGO, formal atau tidak formal, semuanya terdedah dengan apa yang dipanggil sebagai mesyuarat. Namun, perkara yang membezakannya adalah kaedah ianya dijalankan.

Adakalanya kita perlu membuat keputusan dalam suasana aman dan adakala dalam suasana genting. Adakalanya kita terpaksa juga melakukan tindakan dengan kadar yang paling segera dalam berorganisasi atau berkumpulan namun ianya terhasil daripada keputusan bersama yang dicapai. Apapun keputusannya, sudah pastilah ianya memerlukan satu kesepakatan yang dihasilkan dalam mesyuarat atau pun perbincangan bersama.

Kerukunan rumah tangga juga akan terhasil melalui perbincangan di antara suami, isteri dan anak-anak walaupun mungkin ianya diadakan di dalam bentuk perbincangan kekeluargaan mahupun di dalam kereta namun ia akan memberikan natijah kepada sebuah keluarga yang bahagia dan rukun damai. Inikan lagi sebuah organisasi yang besar dan mempunyai pengaruh yang luas yang memerlukan strategi dan teknik yang tepat untuk menghasilkan sesebuah kejayaan.

Maka sudah tentu dalam memperkukuhkan sebuah organisasi, memperkemaskan kaedah mesyuarat menjadi satu keutamaan yang perlu diberikan perhatian secara serius. Mesyuarat bukan sekadar satu aktiviti rutin yang perlu dilaksanakan kerana hanya  dituntut oleh perlembagaan organisasi tetapi ia mestilah mendatangkan hasil yang positif terhadap produktiviti dan output yang diharapkan.

Mesyuarat membawa makna berhimpun, berkumpul  untuk berbincang bagi mencapai kata sepakat untuk melakukan sesuatu pekerjaan. Kamus Dewan mentakrifkan mesyuarat sebagai, “Perundingan (untuk membincangkan sesuatu, atau mencapai sesuatu keputusan)”

Secara amnya,  mesyuarat  itu  ialah  satu  perhimpunan  yang  diadakan untuk mendapatkan buah fikiran daripada pelbagai golongan atau kumpulan bagi mendapatkan satu keputusan. Ia adalah satu komunikasi formal yang dilakukan dalam sesuatu pertubuhan yang bertujuan untuk membuat sesuatu keputusan atau menyelesaikan sebarang masalah berbangkit.

ISLAM ANJURKAN BERMUSYAWARAH

Mesyuarat adalah merupakan satu perkara yang penting dalam kehidupan masyarakt Islam. Kepentingan mesyuarat ini diakui oleh Islam sehingga Allah S.W.T. menganjurkan hamba-hamba-Nya untuk bermesyuarat seperti yang telah dinyatakan di dalam Surah Ali-Imran ;

“Maka, berkat rahmat Allah, engkau (Muhammad) bersikap lemah lembut terhadap mereka, sekiranya engkau bersifat keras dan berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu, maka mohonkanlah ampun bagi mereka dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu, kemudian apabila kamu membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakal kepada-Nya).
(Ali-Imran: 159)

Melalui ayat ini, kita dapat memahami betapa pentingnya mesyuarat dalam sesebuah organisasi. Sesebuah organisasi yang baik mencapai keputusan mesyuarat melibatkan kepentingan organisasi secara keseluruhannya bukannya hanya menyerahkan kepada pemimpin membuat keputusan bersendirian tanpa merujuk kepada mesyuarat.

Nabi SAW dalam peperangan Badar, meminta pandangan daripada para sahabat ketika mendapat tahu tentera Quraisy yang dipimpin oleh Abu Jahal sedang mara ke medan peperangan dengan membawa jumlah tentera yang jauh lebih ramai.

Berpandukan kepada ayat di atas maka dapat kita lihat bahawa dalam ajaran Islam, mesyuarat merupakan satu perintah Allah S.W.T. Dalam firman tersebut, jelaslah bahawa bermesyuarat adalah sesuatu yang penting dalam amalan kehidupan masyarakat Islam.  

KOMUNIKASI DUA HALA

Mesyuarat ialah satu aktiviti yang berdasarkan komunikasi dua hala antara individu dalam situasi formal bagi membincangkan dan menyelesaikan masalah yang berbangkit. Ianya diadakan dengan tujuan untuk bertukar-tukar fikiran dan pendapat, menyelesaikan masalah berbangkit, membuat keputusan, memberikan maklumat dan mendapatkan maklumat daripada pelbagai pihak sama ada di dalam atau di luar organisasi. Mesyuarat yang baik dilaksanakan dalam suasana yang baik, bersopan dan beradab. Semua butir percakapan akan direkodkan untuk semakan, rujukan dan tindakan selanjutnya. Kejayaan sesuatu mesyuarat itu banyak bergantung pada persediaan dan penglibatan ahli-ahli yang hadir, sama ada sebagai Pengerusi, Setiausaha, Bendahari, Ahli Jawatan Kuasa atau pun ahli yang diundang untuk menghadiri mesyuarat tersebut.

Selain itu,mesyuarat juga didefinisikan sebagai satu perhimpunan kumpulan bagi sesebuah pertubuhan yang menggabungkan idea untuk mencapai sesuatu matlamat, matlamat yang hendak di capai kebanyakannya dalam keadaan yang kompleks dan faktor inilah yang menyebabkan mesyuarat perlu dilaksanakan. 

Justeru buku ini diterbitkan untuk membantu sesebuah organisasi tidak kira apa jua latar belakang operasinya untuk mempertingkatkan kualiti mesyuarat yang dilaksanakan berpandukan kepada pengalaman yang dilalui oleh penulis dan juga panduan menjalankan mesyuarat yang berkualiti dan berkesan daripada pelbagai sumber sama ada individu atau organisasi dari dalam dan di luar negara.

Sekian, wassalam.

KhairulFaizi bin Ahmad Kamil
Minda Sejahtera Resources

0 ulasan:

Catat Ulasan