TANGISAN ROHINGYA

TANGISAN ROHINGYA

Ahad, 13 Oktober 2019

POLIGAMI - DALIL POLIGAMI DALAM Al QURAN



3.       DALIL POLIGAMI DALAM Al QURAN

Apa khabar semua para pembaca? Semoga selepas membaca bab terdahulu, hasrat dan niat untuk memahami tentang berpoligami masih lagi utuh dan berkobar-kobar.

Bila bercakap tentang niat dalam bab yang lalu, saya teringat kepada seorang kawan saya yang pernah hubungi saya melalui aplikasi whatsapp, beliau melahirkan hasrat untuk berpoligami. Beliau seorang yang saya kategorikan sebagai OK, seorang suami yang bertanggungjawab dan boleh dikatakan berkemampuan untuk berpoligami.

Beliau beritahu saya, dia telah bertemu dengan seorang wanita yang dirasakan sangat serasi dengannya. Saya tidak pastilah apa yang dimaksudkan oleh beliau dengan keserasian itu tapi beliau telah bertemu dengan seseorang yang sangat sesuai untuk dijadikan sebagai isteri kedua.

Baguslah begitu, respon saya. Memang baguslah tapi sudahkah dimaklumkan kepada isteri yang pertama? Beliau kata, itulah masalahnya dan tujuan beliau hubungi saya adalah untuk minta saya jalan yang terbaik.

Saya katakan kepada beliau, langkah pertama telah dibuat, alhamdulillah. Maka, langkah kedua adalah beritahu kepada isteri tentang hasrat dan niat suci yang telah terbuku di hati.

Sehingga kini, langkah kedua masih belum lagi berjaya dilakukannya...

Itu muqaddimah untuk bab ketiga ini. Sekadar untuk renungan sahaja :-)

Para pembaca, amalan poligami adalah sesuatu yang dibenarkan dalam Islam, berpandukan kepada ayat Allah dalam surah An-Nisa'

"Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): Dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman"
Surah An-Nisa’ : Ayat 3

Mudah sahaja untuk faham apa yang Allah sebutkan dalam ayatNya ini. Asasnya adalah berlaku adil. Itu perkara basic yang kita terapkan. Adil ini bukan mesti sama tapi kita meletakkan sesuatu pada tempatnya. Itu yang Islam ajar kepada kita.

Apabila kita berpoligami, keadilan adalah sesuatu yang perlu kita tegakkan. Saya tidak nafikan bahawa ia adalah cabaran kepada kita apabila mula berpoligami. Sudah biasa bersama seorang isteri, tiba-tiba hidup berubah apabila berpoligami.

Apa yang penting, sebagai seorang suami kita perlu berusaha untuk berlaku adil dengan sebaiknya. Perlu bersedia untuk memperbaiki diri untuk memberikan keadilan yang sebaiknya. 

Jangan give up dengan apa jua cabaran yang dilalui kerana cabaran kepada yang berpoligami tetap akan berterusan daripada pelbagai pihak yang kadang-kadang tak ada langsung hubungan dengan kita.

Satu perkara lagi, jangan kita fikir berlaku adil hanyalah bila kita berpoligami. Hak berlaku adil juga mesti diberikan kepada isteri walaupun seorang. Mentang-mentang isterinya seorang maka kita lebihkan masa kepada perkara lain sehingga lupakan masa untuk isteri dan anak-anak. Itu tanggungjawab kita juga tuan-tuan.

Kesimpulannya, berlaku  adillah kepada semua.

Firman Allah,


Maksudnya : “Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awan-awan); dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Surah An-Nisaa’ : Ayat 129

 Firman Allah lagi,

Maksudnya : “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”
Surah Ar-Ruum : ayat 21

Kesimpulan bagi bab ini seperti yang telah dinyatakan di atas bahawa jelaslah poligami itu ada dinyatakan di dalam Al-Quran. Ia bukanlah amalan yang sengaja direka oleh sesiapa untuk kepentingan orang lelaki atau sebaliknya tetapi ia adalah satu konsep kehidupan yang sebenarnya akan harmoni sekiranya kita mampu melaksanakannya menurut kehendak Islam.

0 ulasan:

Catat Ulasan